• Hang Lekir

Satukan rakyat Malaysia cara Sugu Pavithra

Tanpa merujuk kepada mana-mana enjin carian, topik berkaitan memasak dirasakan menjadi antara yang menjadi ‘trending’ pada waktu ini. Tidak hairan, akaun Facebook berkonsepkan makanan seperti ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ini’ dan ‘Suami Masak Apa Hari Ini’ menjadi hit dan mendapat jutaan pengikut. Tidak terhad di Facebook, saluran memasak di YouTube turut menerima jumlah tontonan yang tinggi. Hyperlokal tertarik dengan satu channel berkonsepkan masakan yang semakin mendapat sambutan hari demi hari.


Bermula dengan ‘subscriber’ yang rendah, hasil keunikan video yang dianggap lain dari yang lain menjadi pemangkin peningkatan tontonan dan langganan salurannya. Saluran YouTube Sugu Pavithra yang diusahakan sendiri Sugu bersama suaminya mempunyai 69 video dan ‘subscriber’ seramai 138,000. Daripada komen di video-videonya, ramai warganet memuji saluran Sugu Pavithra kerana menampilkan kesederhanaan, kebahagiaan dan kedamaian kehidupan di estet serta keharmonian hubungan kekeluargaan. Malah, videonya dirakam hanya menggunakan telefon tanpa proses suntingan yang rumit dan penggunaan grafik yang ‘wow’.


Turut dipuji, kefasihan Sugu Pavithra bertutur dalam bahasa Melayu, tahap kebersihan dapur dan peralatan memasaknya yang seterusnya mendorong komen positif warga net sehingga ada yang menyifatkan video Sugu Pavithra ada semacam ‘positive vibe’ yang menyatukan pelbagai kaum di ruangan komen videonya. Daripada resepi ‘trademark’ kaum India seperti vadai, pelbagai jenis kari dan kuih muih sehinggalah tips membersihkan kuali dan berkebun menanam sayur sendiri, video Sugu Pavithra kerap menerima tontonan tinggi. Teruskan menghasilkan video Sugu Pavithra, teruslah memberikan inspirasi, getaran positif dan perasaan yang menghadirkan keselesaan kepada penonton.

74 views

©2020 by HyperlokalMY