• Hang Lekir

Selepas diarah tutup, Anuar Kari diroboh pula

Gerai Anuar Kari Kepala Ikan yang turut terkenal sebagai kari kepala ikan bawah pokok di Lucky Garden, Bangsar dilaporkan telah dirobohkan bersama beberapa gerai lain.


Perobohan dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara berperingkat sejak beberapa minggu lalu.


Difahamkan, ia bagi membangunkan semula gerai-gerai makanan yang terletak di Pusat Penjaja Taman Lucky, Jalan Ara Kiri 3, Lucky Garden, Bangsar itu.


Namun begitu, terdapat juga laporan bahawa kawasan pusat penjaja tersebut akan dipindahkan ke lokasi lain.


Di lokasi terbabit juga terletaknya Yusof Tomyam, iaitu gerai masakan panas dan tomyam yang popular serta digemari dalam kalangan penduduk setempat serta mereka yang bekerja sekitar Bangsar.


Begitupun, peminat Anuar Kari Kepala Ikan masih boleh menikmati keenakan hidangan tersebut apabila pemiliknya dikatakan membuka 'food truck' berhampiran lokasi asal.



Bagaimanapun, pelanggan hanya boleh membeli secara bungkus sahaja atau 'take away only'.


Anuar Kari Kepala Ikan terkenal dalam kalangan warga kota sebagai lokasi makanan nasi kari / nasi kandar dengan harga murah, selain kari kepala ikannya dikatakan antara paling sedap di Kuala Lumpur.


Sejak beberapa tahun lalu, Persatuan Penduduk Taman Lucky, mendesak DBKL memindahkan semua gerai makanan di Jalan Ara Kiri 3, ke lokasi baharu lebih sesuai, kerana tidak anggup berdepan kesesakan lalu lintas yang teruk setiap hari.



Setiap hari penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan penjaja berkenaan terpaksa bersesak untuk pulang ke rumah berikutan lambakan kenderaan pelanggan gerai yang diletak di bahu jalan.


Penduduk mendakwa, pada 1998 lokasi itu dijadikan tempat sementara kepada penjaja berkenaan berikutan lokasi asalnya di Jalan Ara Kiri 1 menjadi antara laluan bagi acara berbasikal Sukan Komanwel.


Namun, ia kekal di Jalan Ara Kiri 3 sehingga kini walaupun penduduk beberapa kali meminta agar lokasi tersebut dipindahkan.


Februari lalu, premis makanan itu menerima notis perintah penutupan daripada Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana beroperasi dalam keadaan kotor.


Premis itu diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.


Kredit Foto: Arief Aiman

14,487 views

©2020 by HyperlokalMY