• Hang Lekir

Smartphone petunjuk penting siasatan kes jenayah


Secara purata, makmal forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima kira-kira 240 telefon pintar sebagai barang kes kejadian jenayah dalam tempoh seminggu.


Digelar sebagai petunjuk atau bukti digital, percaya atau tidak telefon pintar anda menyimpan pelbagai maklumat yang dapat membantu polis menjalankan siasatan dalam kes-kes jenayah.


Sekaligus menjadikan alat peranti yang dimiliki oleh hampir semua orang itu mengambil tempat sebagai barang kes utama berbanding bukti konvensional seperti kesan darah, cap jari dan lokasi jenayah (crime scene) sebelum ini.



Perkara itu dimaklumkan Ketua Penolong Pengarah D10, Makmal Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azari Abd Rahman.


“Barang kes kita yang paling banyak diterima bukan lagi bukti fizikal yang konvensional, tetapi kita pada masa kini paling banyak menerima barang kes berbentuk digital seperti telefon pintar.


"Untuk setiap kes, dua atau tiga telefon pintar dihantar sebagai barang kes, kita menjalankan proses memelihara peranti, mengekstrak kandungan dan membentangkan dapatan kita sebagai bukti atau petunjuk kepada pegawai penyiasat.


"Proses ini rumit, bayangkan bukan satu dua benda perlu diperiksa, contoh dalam telefon pintar sekarang, kita perlu periksa kad sim, kad memori dan storan peranti, perkara ini pula kadangkala dilindungi menerusi penggunaan kata kunci dan sistem penyulitan data.


“Setiap kali ada serbuan, tangkapan, jumpa mayat dan sebagainya, pasukan saya akan tanya mengenai rampasan telefon bimbit atau telefon pintar serta rakaman CCTV, ia sudah menjadi kelaziman,” katanya.


Selain telefon pintar, antara peranti lain yang dikategorikan sebagai barang kes digital adalah komputer, kamera litar tertutup (CCTV), 'dashboard camera' atau 'dashcam' serta tablet.

22 views

©2020 by HyperlokalMY