• Hang Lekir

Usah leka kelonggaran PKP, belajarlah dari Hokkaido

Isnin ini bermula episod baru ‘peperangan’ menentang pandemik COVID-19 di negara ini. Ia susulan keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat selepas lekuk jangkitan berjaya dilandaikan. Hyperlokal tidak mahu mengupas lanjut apakah kelonggaran yang diberikan, ataupun menyenaraikan ‘do’s and don’ts’ yang wajar dipatuhi selepas ini. Artikel kali ini cuma ingin membawa anda ke sebuah pulau di utara Jepun yang tiba-tiba mencatatkan jangkitan tiga digit selepas perintah berkurung tiga minggu ditamatkan. Hokkaido dilanda gelombang kedua COVID-19 selepas mencatat 135 jangkitan dalam tempoh seminggu sebaik kerajan membuat keputusan menamatkan perintah berkurung pada 19 Mac lalu. Keputusan menamatkan perintah berkurung itu dilakukan bagi membolehkan perniagaan beroperasi dan sekolah dibuka semula di wilayah yang diduduki 5.3 juta penduduk itu. Kesannya, Hokkaido terpaksa mengisytiharkan darurat kecemasan dan menurut laporan media antarabangsa, Pengerusi Pertubuhan Perubatan Hokkaido, Dr Kiyoshi Nagase meluahkan kekesalannya menamatkan perintah berkurung terlalu awal. Kes pertama COVID-19 di Hokkaido dikesan pada seorang pelancong China dari Wuhan ketika Festival Salji Sapporo pada Februari lalu sebelum perintah berkurung diisytiharkan. Setakat 28 Februari, pulau itu mencatatkan 66 kes, tertinggi daripada semua wilayah di Jepun. Bagaimanapun, pada pertengahan Mac, hanya satu digit kes dicatatkan dan sifar kes oada hari tertentu. Akibat keluhan diterima daripada industri pelancongan dan sektor pertanian, Gabenor Hokkaido, Naomichi Suzuki menamatkan perintah berkurung namun mengingatkan penduduk untuk terus menjaga penjarakan sosial. Penduduk Hokkaido yang lega dengan arahan itu kembali memenuhi restoran dan kafe, umpama melepas geram selepas berkurung. Hokkaido juga menerima kehadiran semula sejumlah besar orang luar terdiri daripada golongan pekerja dari Tokyo dan Osaka serta pelajar universiti di bandar besar yang pulang semula selepas kelas mereka dibatalkan. Ketika merasa keadaan beransur pulih, tiba-tiba pada 9 April, Hokkaido kembali mencatat 18 kes positif sehingga memaksa darurat kecemasan diisytiharkan buat kali kedua pada 14 April. Hokkaido mencatatkan 279 kes, peningkatan 80 peratus selepas perintah berkurung ditamatkan kurang sebulan sebelum itu. Kelmarin, Hokkaido melaporkan 38 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan 688 jangkitan dan mencatat 27 kematian. Apa yang berlaku di Hokkaido perlu dijadikan pengajaran kepada kita. Jangan lalai, kegagalan untuk belajar daripada kesilapan antara jalan menuju kekesalan. Semestinya kerajaan sudah mengambil kira pelbagai faktor untuk melonggarkan PKP bermula Isnin depan, bagaimanapun kita sebagai rakyat perlu terus berwaspada dengan ancaman musuh yang tidak dapat dilihat ini. Jangan ambil mudah dengan kelonggaran yang diberikan, elakkan keluar rumah tanpa urusan, dan jagalah kebersihan dan penjarakan sosial setiap masa.

170 views

©2020 by HyperlokalMY