• Hang Lekir

Wabak COVID-19 kembali hantui Wuhan?


Selepas sebulan China mengumumkan berjaya membendung penularan wabak COVID-19, negara Tembok Besar itu melaporkan kluster baharu jangkitan di pusat pandemik, Wuhan dengan beberapa bandar di bahagian Timur Laut dikenakan perintah berkurung. Kes terbaru itu menimbulkan kebimbangan bahawa negara itu mungkin menghadapi gelombang jangkitan baharu, lebih-lebih lagi apabila perintah berkurung terus dilonggarkan di beberapa bahagian lain di negara itu. Lima jangkitan baharu itu disahkan berlaku di daerah Wuhan di lokasi perintah berkurung empat minggu lalu. Ia bermula pada dua hari lalu, apabila seorang individu disahkan positif jangkitan COVID-19 di Wuhan, diikuti dengan lima lagi pada hari ini. Menurut pihak berkuasa tempatan, semua kes baharu berasal daripada kawasan kediaman yang sama, kebanyakannya membabitkan orang tua, manakala seorang pegawai dari daerah terbabit dilaporkan dipecat berikutan usaha mengekang penyebaran virus yang tidak mencukupi. Selain itu, terdapat 11 kes jangkitan baharu tidak bergejala yang dilaporkan di wilayah Hubei. Justeru, pihak berkuasa mengeluarkan arahan supaya orang ramai duduk di rumah dan larangan perjalanan ke Shulan, iaitu bandar dengan sekitar 670,000 penduduk di timur laut China, selepas tiga jangkitan baharu disahkan di kawasan terbabit. Di tengah-tengah amaran keras dikeluarkan terhadap bahaya gelombang baharu selepas beberapa minggu kes menurun, jangkitan kes tempatan pula menular di Shulan. Menurut stesen televisyen CCTV, operasi pengangkutan awam dan teksi serta kereta api yang meninggalkan bandar itu digantung dengan daerah Jilin meningkatkan amaran kecemasan ke tahap tertinggi. Jangkitan kes pertama muncul akhir tahun lalu di daerah ini dan sekitar wilayah Hubei hingga mengorbankan ribuan orang. Pihak berkuasa di Wuhan mengenakan sekatan perjalanan dan pergerakan, di mana langkah itu dilihat usaha yang berjaya untuk membendung wabak berkenaan.


Sumber Berita Harian

703 views

©2020 by HyperlokalMY