• Hang Lekir

Wanita bakal jadi pemimpin tertinggi Korea Utara?

Dalam keributan seluruh dunia berdepan serangan wabak COVID-19, di sebalik tirai besi negara paling berahsia di dunia, ada kisah seakan-akan menunggu masa untuk terburai. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dikatakan terlantar tenat, menanti mati, jika mahu percaya laporan berita yang memetik sumber organisasi risikan Amerika Syarikat. Berbeza dengan laporan berita dari negara jirannya, Korea Selatan, yang menafikan Jong Un menghidap sebarang penyakit. Namun, langsung tidak dapat dipastikan kesahihan kedua-dua laporan itu kerana Korea Utara itu sendiri, seperti disebut sebelum ini, sebuah negara yang ampuh menyembunyikan 1001 cerita. Keadaan kesihatan Jong Un mula diperkatakan sejak musim panas lalu, dengan keadaan fizikalnya yang gempal ditambah dengan sejarah penyakit jantung dalam keluarganya, tidak menghairankan jika ada segelintir pihak sudah mula berteka teki mengenai penggantinya.


Nama yang disebut-sebut tidak lain dan tidak bukan adalah Kim Yo Jong, adik kepada Jong Un sendiri. Lapor laman berita VICE, memetik pakar ditemui yang berpandangan wujud perbezaan pendapat mengenai kemungkinan Yo Jong mengisi kekosongan bakal ditinggalkan oleh abangnya.


Ada yang berpendapat mustahil untuk seorang wanita berusia 32 tahun bergelar Pemimpin Agung, dan memimpin negara yang ditadbir sekumpulan lelaki lanjut usia. Segelintir pula percaya Yo Jong adalah waris mutlak Jong Un dan pembabitannya dalam beberapa urusan pentadbiran berprofil tinggi menunjukkan seolah-olah dia sedang dipersiapkan untuk mengambil alih tampuk pemerintahan. Selebihnya berkata adalah mustahil untuk meramal apa akan berlaku selepas kematian Jong Un. Bagaimanapun, dunia tidak boleh mengangggap kemungkinan untuk seorang wanita berkuasa di Pyongyang akan ‘mengendurkan’ dasar luar negara Korea Utara. “Ada kemungkinan Yo Jong akan bersifat lebih zalim daripada abang, bapa atau datuknya,” kata Pakar Korea dari Universiti Tufts, Sung Yoon Lee kepada VICE. “Dia juga harus menunjukkan keberaniannya dengan melakukan provokasi terhadap Amerika Syarikat menerusi ujian senjata dan serangan berbahaya ke atas Korea Selatan serta pasukan tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di sana,” katanya. Dilahirkan pada 26 September 1987, Yo Jong adalah anak kelima dan bongsu bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il.


Ibunya, Ko Yong Hui adalah wanita simpanan kedua Jong Il. Ketika berusia 9 tahun, Yo Jong dihantar ke Berne, Switzerland untuk memulakan pengajiannya di sekolah rendah. Di sinilah dia menjadi rapat dengan abangnya Jong Un di mana mereka berkongsi rumah yang mempunyai tukang masak, tukang kemas dan pengawal peribadi. Yo Jong kembali ke Korea Utara pada tahun 2000, dan bibit permulaan pembabitan dalam dinasti politik keluarganya adalah pada tahun 2002 apabila Jong Il memaklumkan anak perempuannya itu berminat dengan politik dan mahukan kerjaya dalan sistem politik Korea Utara. Pada tahun 2007, Yo Jong menamatkan pengajiannya dalam bidang Sains Komputer dan kemudian menyertai Parti Buruh yang memerintah. Dia menjadi pembantu peribadi kepada bapanya selepas bapanya diserang strok pada 2008. Beberapa tahun kemudian dia memainkan peranan dalam menaikkan abangnya sebagai pemimpin Korea Utara selepas bapanya meninggal dunia. Dalam tempoh terdekat, nama Yo Jong akan terus menjadi sebutan, bukan sahaja di kalangan rakyat Korea Utara, malah dalam kalangan pemerhati politik dan ketenteraan di seluruh dunia. Adakah Yo Jong akan menjadi kesinambungan pemerintahan dinasti Kim sekali gus memecah tradisi dan menjadi pemimpin wanita pertama Korea Utara?

210 views

©2020 by HyperlokalMY