• Hang Lekir

Liow Soon Hee sumbang RM10,000 sebulan kepada pusat jagaan anak OKU

Updated: Sep 25


Syarikat pengurusan dan dan pelaburan, World Dynasty Group (WDG) memberi komitmen untuk menyumbang RM10,000 setiap bulan kepada Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Melaka.


Pengerusi dan Pengasas WDG, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, berkata komitmen itu adalah kesinambungan daripada sumbangan syarikat berkenaan kepada pusat kebajikan tersebut sejak 2016.



"Kali pertama saya mengunjungi pusat ini bersama Datuk John Lee dan Francis Tan pada April 2016 dan sejak itu kami banyak menyalurkan sumbangan kepada pengendali pusat berkenaan.


"Sebagai bapa yang mempunyai tiga anak, saya sangat tersentuh apabila melihat sendiri kesukaran dihadapi penghuni pusat kebajikan ini menjalani kehidupan harian dalam keadaan serba kekurangan.


"Berikutan itu, ingin dimaklumkan bahawa saya sedia menyumbang RM10,000 sebulan kepada pusat ini, selagi saya masih hidup," katanya yang turut dikenali sebagai antara dermawan termuda di Malaysia menerusi kenyataan hari ini.


Sumbangan itu disampaikan Datuk Seri Eric Ng dan Datuk Lee Kim Tien, mewakili WDG dan Pertubuhan Integriti Nicky Liow Malaysia.


Sejak 2016, Nicky Liow berkata, WDG telah menyumbang kira-kira RM530,000 kepada Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Terencat Akal Melaka.



Sementara itu, penjaga pusat terbabit, M Thomas berkata, pengumuman itu sangat melegakan pihaknya yang sering berdepan kekurangan dana untuk menguruskan pusat berkenaan.


"Kos operasi pusat ini agak tinggi dan sudah pasti sumbangan beliau sangat membantu meringankan bebanan kami.


"Pusat ini beroperasi sejak 2002 dan diasaskan Mendiang V Rajamanikam yang meninggal dunia Julai lalu. Buat masa ini, kita ada dua cawangan, satu Johor dan satu lagi di Melaka.


"Seramai 54 kanak-kanak dan OKU pelbagai peringkat umur ditempatkan di sini dan mereka memerlukan penjagaan khas kerana mengidap penyakit seperti sindrom down, serebrum palsy, hyperactive dan autisme, selain ada yang pernah menjadi mangsa dera," katanya.


Thomas berkata, selain menyediakan kemudahan tempat tinggal dan makanan kepada kanak-kanak tersebut, pihaknya turut memberi akses kepada pendidikan dan kemahiran bersesuaian kepada penghuni pusat itu.

51 views

©2020 by HyperlokalMY